PETALING JAYA: Biarpun menjadi pilihan terakhir untuk membawa watak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelakon Farid Kamil menyifatkan peluang itu sebagai pengalaman berharga.

Farid berkata, tawaran daripada produksi Indonesia, Bianglala Entertainment itu memberikannya cabaran kerana dia tidak pernah membawakan watak tokoh dan pemimpin politik yang masih aktif.

“Ketika menerima tawaran berlakon, saya dimaklumkan tiada pelakon, kru atau pengarah yang berani untuk hasilkan cerita mengenai tokoh itu.

“Saya adalah pilihan terakhir produksi Indonesia itu. Produksi pernah memberikan tawaran membawa watak itu kepada pelakon tempatan lain, tetapi mereka menolak dengan alasan tidak berani.

“Namun, saya berani ambil kerana jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tayangan filem Remp-It 2, malam tadi.

Filem mengenai Anwar yang diarahkan oleh Viva Westi menampilkan Farid memegang watak utama bergandingan dengan pelakon Indonesia, Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya cabaran ketika menerima watak tersebut, Farid pada mulanya memberitahu tidak yakin untuk membawa naskhah berat itu, apatah lagi tokoh sebenar masih hidup dan sangat terkenal di peringkat antarabangsa.

Dia malah meminta nasihat ibunya terlebih dahulu dan menelaah skrip berulang kali sebelum bersetuju menerima tawaran berlakon filem yang dijangka tayang tahun depan.

“Semasa dapat skrip, saya belum buat keputusan lagi kerana mahu ibu baca dahulu. Sejam selepas itu, ibu hubungi saya dan suruh berlakon filem ini untuk tunjukkan pada dunia yang negara ini masih mempunyai pemimpin yang tegar dalam perjuangannya.

“Asalnya, saya beritahu kru produksi tidak mampu melakonkan watak ini selepas berulang kali menelaah dan membaca setiap perincian dalam skrip. Jadi, saya minta berjumpa tokoh tersebut.

“Akhirnya, permintaan saya dimakbulkan dan dapat dua kali berjumpa dengannya. Beliau banyak memberikan saya tips bagaimana untuk memaparkan karaker dirinya,” katanya.

Berkongsi pengalaman bertentang mata dengan Anwar, Farid berkata, dia sangat mengagumi tokoh politik itu yang menempuh ranjau penuh berduri dalam sepak terajang dunia politik.

“Banyak maklumat tambahan yang saya dapat daripada pertemuan itu, terutama tentang diri dan perjuangannya. Ia membantu saya untuk menterjemahkan watak Anwar dengan lebih berkesan,” katanya.

Oktober lalu, Anwar memuat naik foto bersama Farid dalam media sosial dan menjelaskan pertemuan mereka bertujuan membincangkan perkara berkaitan seni, budaya dan industri perfileman negara.

The post Farid Kamil sedia berdepan risiko galas watak Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *