KUANTAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Felda bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ini kerana Muhyiddin berkata, penduduk Felda sudah berubah dan memberikan sambutan kepada parti politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN). 

Menurutnya, warga tanah rancangan itu sudah bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk mendengar sebarang perubahan yang akan dibawa.

“Kalau dahulu, Felda memang menjadi kubu kuat UMNO dan juga BN tetapi sekarang tidak begitu lagi.

“Sambutan dan penerimaan masyarakat Felda terhadap parti lain memang jarang berlaku dan hari ini sambutannya luar biasa.

“Kalau dahulu hendak naikkan bendera pembangkang… memang susah dan tidak ada yang naik di Felda,” katanya kepada pemberita selepas program bertemu penduduk setempat Gugusan Felda Lepar Hilir di Felda Lepar Hilir 3, di sini hari ini.

Kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Felda masih lagi kubu kuat kepada UMNO dan BN pada pilihan raya umum (PRU) ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, sejak sekian lama Felda telah menyumbang kepada kejayaan BN membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada ketika ini masyarakat Felda sudah mula bersedia untuk mendengar sesuatu yang baharu.

“Ini adalah satu perubahan besar sikap penduduk Felda, mereka sudah terbuka dan mahukan perubahan.

“Mereka bukan sahaja mahukan perubahan malah pembaharuan. Mereka mula yakin, kita pun dah banyak umum bantuan termasuk selesaikan hutang, pembinaan infrastruktur, masalah generasi baharu dan isu rumah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ternyata sambutan terhadap PN sudah mula melonjak naik dari hari ke hari.

Katanya, rakyat dilihat mula beralih arah mahukan sebuah kerajaan prihatin dan bertanggungjawab.

“PN bertindak memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal, itu menjadi antara sebab minat terhadap kita (PN) meningkat secara mendadak.

“Saya melihat situasi (sokongan) terhadap kita agak luar biasa, ribuan daripada mereka keluar beramai-ramai. Saya kira mereka sudah ada kesedaran baru,” katanya. – UTUSAN

The post Felda bukan lagi kubu kuat BN – Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *