PUTRAJAYA: Pelbagai aktiviti menarik bakal disediakan untuk para pengunjung ke Festival Seni Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran di sini bermula Jumaat depan.

Turut diadakan ialah lawatan eksklusif ke kilang percetakan al-Quran kedua paling besar di dunia itu yang terletak di Presint 14 selain pelbagai pameran artifak Rasulullah SAW.

Menurut hebahan menerusi laman sosial rasmi Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga bertindak sebagai rakan kerjasama strategik, festival berlangsung hingga 29 Januari ini.

Perasmian prapelancaran festival berkenaan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan pada pukul 11 pagi, esok.

Ia dianjurkan bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian, Perbadanan Putrajaya, Islamic Tourism Center, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran sendiri.

Uniknya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan buku sirah bertajuk Inilah Muhammad yang memegang lima rekod dunia dengan ada 429 halaman dan berat 1,500 kilogram.

Naskhah itu dihasilkan Mshahed International Group berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu mengambil masa sembilan bulan dengan kepakaran 50 orang untuk disiapkan.

Nasyrul Quran malah diberikan penghormatan buat julung kali untuk mempamerkan buku sejarah Nabi Muhammad SAW itu yang bersaiz lima meter lebar dan lapan meter tinggi.

Turut dipertontonkan ialah kain kiswah Kaabah, pelbagai artifak milik Rasulullah SAW dan sahabat baginda, pameran Quran Village, lelongan Art Pieces dan gerai aneka agensi.

Pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan pelupusan al-Quran dan buku agama selain program ilmiah serta Hari Palestin di samping peraduan mewarna bagi kanak-kanak.

Pertandingan khat terbuka juga diadakan selain majlis pelancaran buku siri Ohsem! AR dan Sajdah oleh Blindspot Studio yang menerbitkan siri animasi cilik terkenal, Alif & Sofia.

Festival ini dibuka secara percuma dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang pada setiap hari, manakala pada Sabtu dan Ahad, waktu tempohnya akan dilanjutkan sehingga 9 malam.

Tapak Nasyrul Quran seluas 2.2 hektar dirasmikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015 lalu dengan kos diperuntukkan kerajaan sebanyak RM60 juta.

Kompleks itu setelah siap dua tahun kemudian dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan berupaya mencetak sejuta naskhah setiap tahun. – UTUSAN

The post Festival al-Quran, artifak Islam terbesar di Nasyrul Quran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *