FLORIDA: Rangkaian pulau tropika Florida Keys berdepan kebanjiran pendatang dan pelarian hujung minggu lalu apabila lebih 500 pencari suaka tiba dengan bot ke kawasan pantai kepulauan itu.

Pejabat Syerif Daerah Monroe dalam satu kenyataan menyifatkan keadaan itu sebagai krisis kemanusiaan dan Peronda Sempadan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan arahan untuk menangguhkan beberapa pendaratan sehingga badan persekutuan tiba.

Jelas kenyataan itu, gelombang ketibaan bermula Sabtu lalu dan dijangka berterusan minggu ini.

Perkara itu berlaku ketika AS membahaskan masa depan dasar suakanya, dengan Mahkamah Agung bersedia untuk meneliti semula perintah imigresen yang digunakan kira-kira 2.5 juta kali untuk mengusir pendatang dan pelarian yang tiba di sempadan negara.

Pegawai Republikan memberi amaran pemansuhan perintah tersebut boleh membawa kepada peningkatan mendadak pencari suaka yang tidak mampu ditangani AS.

Dalam pada itu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden memberi isyarat sokongan untuk menarik balik dasar itu, yang disifatkan ramai pengkritik melanggar hak pencari suaka untuk pendengaran yang adil.

Pejabat Syerif Daerah Monroe bagaimanapun dalam kenyataannya  menyalahkan pentadbiran persekutuan ekoran situasi di Florida Keys.

“Ini menunjukkan kekurangan rancangan gerak kerja oleh kerajaan persekutuan untuk menangani isu migrasi besar-besaran yang sudah boleh diramalkan,” kata Sheriff, Rick Ramsay.

Bandar pulau berkenaan, Key West yang terletak kira-kira 150 kilometer di utara Cuba menjadikannya destinasi popular bagi pencari suaka yang melarikan diri dari negara Caribbean dan negara lain di seluruh rantau ini.-AGENSI

The post Florida Keys dibanjiri pencari suaka  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *