SAUDARA PENGARANG,

UCAPAN sekalung tahniah buat para pemain Harimau Malaya walaupun terkandas di peringkat separuh akhir kedua di tangan juara bertahan, iaitu Gajah Perang. Namun, ia boleh dianggap pencapaian boleh dibanggakan.

Paling terharu, reaksi ditunjukkan oleh jurulatih Kim Pan Gon selepas anak-anak buahnya menghampakan harapan penyokong Ultras Malaya dengan sedikit pun tidak menuding kesalahan ke atas para pemain.

Sebaliknya Pan Gon menghamburkan pujian kerana berani menyahut cabarannya untuk sama-sama berjuang dalam skuad tempang ini.

Jika dilihat pada keseluruhan corak permainan Harimau Malaya beraksi di Bangkok, Thailand tempoh hari, ternyata begitu hambar dan ada sahaja yang tidak menjadi meskipun terdapat peluang untuk mencipta gol. Sayangnya, pengadil sudah bagus, pemain kita pula yang tidak berapa bagus bermain termasuklah prestasi pemain naturalisasi agak kurang menyengat ketika berhadapan pasukan lebih kuat seperti Vietnam dan Thailand.

Hakikat yang tidak boleh ditolak sama sekali bahawa Harimau Malaya tetap memerlukan beberapa pemain yang terpaksa menolak panggilan call up tempoh hari atas sebab tertentu seperti Corbin Ong, Azam Azih, Arif Aiman dan lain-lain lagi yang sebelum ini membarisi skuad kebangsaan. Kehadiran mereka pastinya dapat mengimbangi kekuatan dan kelebihan yang ada pada pasukan lawan.

Harimau Malaya sudah berada pada landasan yang betul dan terbaik berbanding rekod lalu, maka lupakanlah seketika kekecewaan kerana gagal melangkah ke pentas akhir AFF 2022. Oleh itu, teruskanlah usaha selepas ini, fokus pula pada persiapan menyediakan barisan pemain yang betul-betul berkualiti dan bersemangat tinggi mewakili negara untuk mengharungi kejohanan Piala Asia di Qatar nanti yang dianggap paling mencabar.

Tahniah Pan Gon dan syabas pemain Harimau Malaya! Anda boleh.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

The post Fokus buru Piala Asia lepas terkandas AFF 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *