PETALING JAYA: Foodpanda Malaysia dan Agrobank menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyediakan bantuan kewangan kepada para vendor foodpanda untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka menerusi jaringan HomeChef.

Menerusi kerjasama itu, para vendor dan rakan penghantar foodpanda berpeluang dan mempunyai akses kepada Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz Agrobank, skim pembiayaan mikro bagi individu-individu yang terjejas akibat cabaran ekonomi semasa, namun tetap bersemangat untuk memulakan perniagaan makanan sendiri dari rumah.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sayantan berkata, sebagai peneraju dalam bidang penghantaran makanan dan perdagangan pantas, foodpanda percaya dalam usaha-usaha yang boleh memperkasakan keusahawanan kerana dalam jangka masa yang panjang, usaha seperti ini akan meningkatkan pertumbuhan perniagaan tempatan.

Kata beliau, foodpanda tidak hanya berfungsi sebagai pasaran pasif semata-mata di mana para vendor boleh berhubung dengan setiap pelanggan mereka, tetapi berusaha untuk memupuk dan menyokong mereka mencapai potensi penuh masing-masing.

“Kami yakin dengan kerjasama bersama Agrobank ini, kami dapat sinergikan kekuatan dan memberikan perubahan yang hebat untuk bakal usahawan di platform kami.

“Program kredit mikro ini bukan sahaja menawarkan kadar keuntungan yang menarik, tetapi ia juga mengurangkan risiko untuk pemilik perniagaan dari rumah. Melalui kerjasama ini, kami percaya ia boleh menciptakan ekosistem untuk memberi inspirasi dan memperkasakan keusahawanan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Ahmad Badli Shah pula berkata, kerjasama itu akan meningkatkan lagi visi Agrobank untuk menerajui sektor pertanian negara melalui produk pembiayaan patuh syariah dan penyelesaian kewangan dalam usaha memenuhi keperluan komuniti agromakanan termasuk mereka yang menjalankan aktiviti huluan dan hiliran.

“Usaha berterusan Agrobank melalui program pembiayaan rantaian penuh kami adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sambil meningkatkan tahap jaminan keselamatan makanan dan tahap sara diri (SSL) di Malaysia,” tambah beliau.

HomeChef merupakan inisiatif foodpanda untuk pengembangan dan peningkatan jumlah perniagaan dari rumah sambil menghubungkan para pelanggan dengan hidangan unik yang enak melalui platform foodpanda. – UTUSAN

The post foodpanda, Agrobank bekerjasama tawar pembiayaan mikro appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *