DOHA : Bintang muda Belanda, Cody Gakpo terus menjadi tumpuan apabila jaringanya membantu kemenangan pasukan mengatasi Qatar, 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A, Piala Dunia 2022, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi yang berbeza dimana Belanda mahu mencatat kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka di carta kumpulan A manakala Qatar mahu mencatat kemenangan pertama mereka dalam sejarah temasya Piala Dunia.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Bayt, wakil Eropah itu mendominasi perlawanan menyaksikan tuan rumah lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Gakpo meletakkan Oranje didepan menerusi rembatan pada minit ke-26 yang menewaskan penjaga gol lawan, Meshaal Barsham.

Tersentak dengan jaringan Gakpo, Qatar memperkemaskan corak permainan dan hampir memperolehi gol penyamaan menerusi Ismail Mohamad namun rembatannya berjaya diselamatkan oleh Andries Noppert.

Skuad bimbingan Louis van Gaal mengekalkan rentak permainan dan mereka berjaya menjaringkan gol kedua pasa minit ke-49 menerusi Frankie de Jong.

Steven Berghuis hampir meletakkan nama selaku penjaring pada perlawanan malam ini namun jaringannya dibatalkan pengadil selepas terkena tangan Gakpo.

Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat masa perlawanan menyaksikan Belanda mara ke peringkat 16 terbaik mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri diikuti Senegal yang menewaskan Ecuador dalam satu lagi perlawanan kumpulan A. -AGENSI

The post Gakpo terus cipta impak buat Oranje appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *