PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak bertanggungjawab untuk meletak jawatan susulan gangguan perkhidmatan aliran transit ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Dalam satu ciapan di Twitter, gesaan itu disifatkan beliau sebagai satu tindakan yang bermaruah. 

“Lakukan sesuatu yang bermaruah – letak jawatan,” ciapnya, hari ini. 

Ciapan itu sebagai respons kepada satu sidang akhbar Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pagi tadi.

Terdahulu, media melaporkan, Prasarana memohon maaf kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan itu sehingga 16 stesen perkhidmatan berkenaan tidak boleh beroperasi sehingga 15 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, stesen LRT di antara Stesen Kelana Jaya sehingga stesen Ampang Park ditutup bagi mencari penyelesaian penuh kepada masalah sistem kawalan automatik (ATC) yang tidak stabil.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati terdapat gangguan pada komponen ATC yang menyebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dengan tren menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik.

“Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami masih menyiasat punca sebenar gangguan ini.

“Pihak Rapid Rail dibantu oleh pasukan khas pihak pengilang asal OEM dari Toronto, Kanada akan mencari penyelesaian jangka panjang dan pendek merangkumi ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada,” katanya. – UTUSAN

The post Gangguan LRT: Anwar gesa pihak bertanggungjawab letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *