BERA: Perdana Menteri mengarahkan jawatankuasa khas  melakukan siasatan menyeluruh  berhubung gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid Rail Laluan Kelana Jaya yang menyusahkan rakyat dan berlaku ketika kempen Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejadian tersebut merungsingkan beliau kerana ini  kali kedua berlaku sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

“Saya tak nak sebutlah (unsur sabotaj) cuma saya kata merunsingkan saya kenapa berlaku semasa sedang berkempen dan kali kedua dalam tempoh saya menjadi Perdana Menteri,” kata beliau  dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Batu Papan di sini hari ini. 

Menurut beliau, jawatankuasa khas itu akan menyiasat bukan sahaja dari segi punca kerosakan tetapi siasatan itu perlu secara menyeluruh termasuk kenapa ia berlaku ketika kempen PRU15.

Rabu lalu, RapidKL mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Jaya yang melibatkan 16 stesen dihentikan  tujuh hari bermula 9 November hingga 15 November selepas berdepan gangguan sistem automatik. 

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau sudah mengarahkan agar siasatan dilakukan dengan terperinci dan perkara sama yang menyusahkan orang ramai ini tidak berulang pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata, laluan LRT Kelana Jaya dijangka boleh beroperasi semula lebih awal sebelum 15 November.

Beliau berkata, pada masa ini pasukan teknikal Rapid Rail dengan bantuan pengeluar sistem Thales Group dari Kanada dan Singapura bekerja tanpa henti bagi memulihkan sistem LRT laluan Kelana Jaya.   

“Mengikut data ujian keselamatan yang diperoleh dengan menggunakan 38 set tren laluan Putra Heights ke Gombak sepanjang hari ini, perkhidmatan di laluan itu stabil.

“Sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji lagi malam ini dan dinilai untuk benar-benar memastikan bahawa LRT laluan Kelana Jaya bersedia untuk beroperasi dengan selamat lebih awal dari 15 November seperti dijangka,” ujarnya.- UTUSAN

 

The post Gangguan LRT disiasat  menyeluruh punca rosak, sabotaj – Ismail Sabri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *