PETALING JAYA: Pengendali Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid Rail Sdn. Bhd., hari ini memperincikan pampasan pemberian tambang percuma selama tujuh hari kepada pengguna LRT laluan Kelana Jaya yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan sebelum ini.

Menurut Rapid Rail, perincian pampasan tersebut merangkumi pengguna My50, pengguna kad Touch ‘n Go dan pengguna token.

Bagi pengguna My50, Rapid Rail menjelaskan, pengguna akan diberi tambahan perjalanan percuma selama tujuh hari apabila memperbaharui pas My50 setelah tamat tempoh. Pembaharuan boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember.

Katanya, pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, Monorel, Projek Transit Aliran Massa (MRT) dan sistem Transit Aliran Bas (BRT), maka Pegawai Khidmat Pelanggan akan membuat pengesahan.

Ujarnya, bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November, mereka boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj, namun perlu memastikan sekurang-kurangnya RM5 kekal tersimpan di dalam pas itu.

“Pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj di antara Isnin, 14 November hingga Ahad, 20 November dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai kekal tersimpan di dalam kad.

“Bagi pengguna token pula, semua pengguna yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya dari Isnin 14 November sehingga Ahad 20 November layak untuk menikmati tambang percuma.

“Pengguna perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya,” katanya.

Jelas Rapid Rail, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi mereka di [email protected] atau di talian 03-7885 2585.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya kembali dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai pukul 6 pagi, esok.

Ia selepas 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya ditutup selama tujuh hari bermula 9 November lepas susulan gangguan perkhidmatan.

Penutupan itu melibatkan stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar.

Selain itu, stesen LRT yang tidak beroperasi turut membabitkan stesen KL Sentral, Pasar Seni Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park. –UTUSAN

The post Gangguan LRT: Rapid Rail perinci pampasan kepada pengguna appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *