GEORGE TOWN: Seramai tujuh lelaki warga tempatan termasuk seorang pemandu kenderaan sebuah politeknik ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini dan Changkat Jering, Perak, pada 19 Januari lalu kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran ganja.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 840.729 kilogram (kg) ganja termasuk ganja ‘premium’ yang berkualiti tinggi bernilai RM2.10 juta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran daripada sindiket yang dipercayai aktif sejak tahun lalu itu.

Kesemua suspek berusia 24 hingga 29 tahun dan bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mereka ditahan susulan operasi terancang berkaitan aktiviti pengedaran dadah ganja di kawasan Timur Laut dan Barat Daya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang.

”Menerusi serbuan pertama di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth, pukul 6.45 pagi, polis menahan tiga lelaki yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Myvi.

”Susulan penahanan mereka, polis merampas beberapa ketulan mampat ganja seberat 479.72 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Ford bernilai RM1.1 juta yang diletakkan di kawasan parkir kereta di Bukit Jambul,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, sepasukan polis turut menahan tiga suspek lelaki di dalam sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, kira-kira pukul 7.44 pagi, namun tiada sebarang dadah ditemukan.

“Polis kemudian menyerbu kawasan tepi jalan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru, pukul 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di situ.

“Di dalam kereta ini, kita menjumpai dadah jenis ganja yang disimpan di dalam 10 guni plastik seberat 361 kg, namun tiada tangkapan dibuat di sini,” katanya.

Tambah beliau, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah di Air Itam di sini, pukul 3.20 petang dan menahan seorang lelaki, namun tiada rampasan dadah dibuat.

”Secara keseluruhan dalam operasi ini, polis merampas ganja seberat 840.729 kilogram bernilai RM2.10 juta dan hasil risikan mendapati dadah ini adalah untuk pasaran tempatan.

”Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 1.8 juta orang dan kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Januari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, ujian saringan air kencing kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

”Polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500,” katanya. – UTUSAN

The post Ganja RM2.1 juta dirampas, 7 lelaki ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *