PETALING JAYA:  Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berjanji akan memberikan ganjaran setimpal kepada pemain negara yang memahat sejarah menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama di Ipoh, kelmarin.

Bagaimanapun, Subahan menjelaskan jumlah ganjaran itu belum boleh didedahkan dan perlu dibentangkan kepada barisan ahli Lembaga Eksekutif terlebih dahulu.

Skuad kendalian Arul Selvaraj melakar sejarah menamatkan penantian 39 tahun negara untuk mendakap piala berprestij itu selepas lima kali berputih mata bergelar naib juara.

“Ganjaran itu ada, tetapi saya harus berbincang dengan ahli exco terlebih sebelum membuat sebarang keputusan. Saya tidak boleh melakukan keputusan sendiri.

“Apabila semua ahli jawatankuasa bersetuju, kita akan buat majlis untuk meraikan kejayaan mereka,” jelas Subahan ketika ditemui dalam sidang media bersama Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH),  Datuk Tayyab Akram hari ini.

PEMAIN Malaysia memberi penghormatan kepada penyokong yang memenuhi Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh selepas tamat perlawanan semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Sementara itu, Subahan juga terbuka untuk menghulurkan bantuan diperlukan Arul untuk memantapkan lagi pasukannya bagi mengharungi dua lagi kejohanan selepas ini, iaitu Kejohanan Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan pada 28 November hingga 4 Disember depan disusuli Piala Dunia di Bhubaneswar, India pada Januari.

MHC sebelum ini mendapatkan khidmat jurulatih kecergasan dari England, Tom Drowley yang telah membantu skuad hoki wanita Great Britain memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 dan pingat gangsa ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain beberapa jurulatih tempatan seperti Amin Abdul Rahim, S.Kumar dan Azrul Efendy Bistamam untuk membantu Arul dalam skuad kebangsaan.

“Saya rasa biar Arul datang berjumpa dan berbincang dengan saya apa yang dia perlukan, kalau ada keperluan saya akan tambah, dan sekiranya kita boleh gunakan tenaga tempatan untuk posisi itu, kita akan gunakan,” tambah Subahan. – UTUSAN ONLINE

The post Ganjaran bakal menanti Speedy Tigers appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *