SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM pembubaran Parlimen ke14 pada 10 Oktober lalu, banyak pihak mempersoalkan saiz Kabinet yang agak besar dengan lantikan ramai menteri dan timbalan menteri.

Ia memerlukan perbelanjaan besar untuk membayar gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan lain kepada menteri, timbalan menteri dan pembantu-pembantu mereka.

Beberapa gabungan parti yang bertanding, misalnya Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan dalam manifesto masing-masing tentang apa yang akan dilakukan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Masing-masing ingin melakukan penjimatan dan berbelanja secara berhemah. Calon Perdana Menteri ke-10 dari PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau akan memotong gaji menteri dan timbalan menteri serta mengecilkan saiz Kabinet.

Saya bersetuju dengan cadangan itu tetapi ingin mencadangkan penyelesaian lebih baik. Setiap kementerian ada seorang ketua setiausaha (KSU).

Sebagai penasihat utama kepada menteri, KSU memang sangat arif tentang kementerian masing-masing. KSU memimpin dalam penggubalan dasar-dasar kementerian, perancangan pembangunan, penentuan strategi pelaksanaan, penilaian, pengesanan dan pengawasan program-program yang dilakukan oleh agensi-agensi pelaksana.

Mereka kenal dengan kakitangan dan tahu tentang kekuatan, kelemahan, kelebihan dan kekurangan kementerian mereka.

Maka, saya mencadangkan KSU mengambil alih tugas menteri. KSU akan bertindak sebagai pentadbir kementerian dan berhubung terus dengan Perdana Menteri.

Sebelum ini pun para menteri akan merujuk kepada KSU jika terdapat sebarang masalah yang timbul.

Kluster

Ketika menteri berhadapan dengan pihak media pun, KSU berada di sampingnya bagi membantu menjawab soalan terutama yang berkaitan dengan perkara teknikal.

Kesimpulannya, KSU memang layak untuk mewakili kementeriannya sebagai eksekutif utama tanpa perlu ada seorang menteri mahupun timbalan menteri kementerian tersebut.

Untuk memudahkan pemantauan dan pentadbiran, Perdana Menteri boleh menggabungkan beberapa kementerian menjadi satu kluster seperti Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia, Kluster Ekonomi, Kluster Pertahanan serta Kluster Infrastruktur.

Dengan perkembangan pesat teknologi, satu kluster baharu boleh dibentuk yang dinamakan Kluster Teknologi melibatkan semua perkara berkaitan sains, teknologi, internet benda (IoT) dan digital.

Perdana Menteri boleh juga melantik seorang menteri kanan bagi setiap kluster tersebut. Menteri kanan ini akan mengetuai dan memantau beberapa kementerian di bawah kluster mereka dan KSU setiap kementerian akan melaporkan perkembangan kementeriannya kepada menteri kanan kluster masing-masing.

Maka, lima kluster ini akan membentuk satu Kabinet kecil dengan hanya seorang Perdana Menteri dan lima orang menteri kanan tanpa timbalan menteri kanan. Bayaran gaji, elaun, imbuhan dan sebagainya kepada Perdana Menteri dan lima menteri kanan sahaja.

Gaji dan elaun untuk KSU boleh dinaikkan sedikit, misalnya sebanyak 15 peratus daripada gaji dan elaun semasa memandangkan beban kerja dan tanggungjawab yang meningkat.

Tanpa pelantikan menteri dan timbalan menteri yang ramai, kerajaan boleh berjimat melebihi RM1 juta sebulan ataupun mungkin lebih. Itu belum lagi ditolak bayaran untuk lantikan duta khas ke negara-negara tertentu. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

 

The post Gantikan menteri dengan KSU appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *