KUALA LUMPUR: Gara-gara Kim Pan Gon, aksi Harimau Malaya turut mendapat tumpuan daripada salah sebuah stesen televisyen utama di Korea Selatan iaitu SBS Sports yang menyiarkan ‘highlight’ pertembungan antara Malaysia menentang Singapura pada Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

‘Highlight’ tersebut yang bertajuk `(HL) Malaysia vs Singapore/AFF Championship Group B #KIMPANGON’ disiarkan menerusi platform YouTube milik stesen televisyen tersebut yang berjaya meraih lebih 275,000 tontonan.

Menerusi video kedua bertajuk ”PANDALF’ #KIMPANGON performs Exclusive Magic Show to lead Team MALAYSIA to the Semi-Final!!’ pula mendapat lebih 71,000 tontonan.

Utusan Malaysia juga difahamkan, perlawanan membabitkan Harimau Malaya pada Piala AFF turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen di Korea Selatan.

Untuk makluman, SBS Sports merupakan sebuah rangkaian sukan milik stesen televisyen SBS (Seoul Broadcasting System) yang menerbitkan program hiburan popular ‘Running Man’.

Ternyata pengaruh Ketua Jurulatih skuad kebangsaan itu begitu kuat di negara kelahirannya sehinggakan apa sahaja yang dilakukan Pan Gon untuk Harimau Malaya mendapat sorotan media di sana.

Pan Gon merupakan individu yang sangat dihormati di Korea Selatan khususnya dalam kalangan peminat bola sepak negara tersebut.

Sebelum menyertai Harimau Malaya, jurulatih berusia 53 tahun itu pernah menggalas tugas sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan turut berperanan sebagai ketua jawatankuasa penyeliaan pasukan kebangsaan Korea Selatan.

Di negara kelahirannya, Pan Gon mendapat julukan Pandalf yang mana personaliti beliau disamakan dengan watak protaganis dalam sebuah filem fantasi Hollywood, Lord of the Rings iaitu Gandalf.

Gandalf di dalam filem itu digambarkan sebagai ahli sihir baik yang mempunyai kuasa besar bagi memberikan dorongan dan mempengaruhi orang lain.

Ahli sihir itu juga berpengetahuan hebat dan mengembara secara berterusan turut dilihat mempunyai persamaan dengan Pan Gon yang lama merantau di Hong Kong dan memiliki kepakaran dalam bidang sains sukan.

Disebabkan kepakarannya itu juga, Pan Gon berjaya membangunkan pasukan sains bola sepak di negaranya bagi menangani isu rawatan, pemulihan dan pengurusan berat badan dari sudut saintifik dalam kalangan pemain. – UTUSAN ONLINE

The post Gara-gara Kim Pan Gon, Harimau Malaya popular di Korea Selatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *