PETALING JAYA: Gelombang Perikatan Nasional (PN) akan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang dinafikan hak semak dan imbang, dalam usaha menawan negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, dalam pertemuan santai bersama Pengerusi PN Negeri, Datuk Dr. Dominic Lau dan ADUN PN, mereka bimbang dengan usaha kerajaan negeri itu yang memaksa empat wakilnya mengosongkan kerusi DUN.
“Usaha ini menggambarkan betapa sikap kediktatoran semakin mencengkam dalam gabungan UMNO-DAP ini. Sudah tiada lagi keinginan mencipta pentadbiran yang seimbang dan berteraskan semangat demokrasi yang sebenar.
“Hanya mahu memastikan mereka kekal berkuasa tanpa sebarang semak imbang supaya mereka boleh lakukan apa sahaja. Inilah dia Dictatorship Action Party!
“Pengerusi Perikatan Nasional Pulau Pinang telah mengeluarkan satu kenyataan media berkaitan hal ini. Insya-Allah, gelombang PN akan bersama kami dalam usaha menawan Pulau Pinang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
PN Pulau Pinang sebelum ini mengecam tindakan kerajaan negeri itu yang menghantar notis usul pengosongan kerusi bagi empat DUN yang diwakili gabungan itu iaitu DUN Bertam; Teluk Bahang; Sungai Acheh dan Seberang Jaya.
Usul itu dipercayai bersangkutan dengan Undang-undang Akta Lompat Parti Pulau Pinang dan dijangka dibahaskan pada 6 Mac ini ketika persidangan DUN Pulau Pinang. – UTUSAN
The post Gelombang PN, ADUN tawan Pulau Pinang – Wan Saiful appeared first on Utusan Malaysia.