KANGAR: Kebangkitan dan gelombang sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) memberi keyakinan gabungan tersebut mampu menawan Perlis sekali gus menamatkan pemerintahan  Barisan Nasional (BN) di negeri ini buat pertama kali dalam sejarah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melontarkan keyakinan gelombang tersebut terus berlaku di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mampu menawan Putrajaya.

Menurut beliau, kebelakangan ini, Perlis sudah ada gelombang hebat dan cukup luar biasa dengan rakyat sudah bersedia membantu kemenangan PN di negeriini  dan seluruh negara.

“Sokongan luar biasa itu menunjukkan rakyat sudah bersedia menyokong PN untuk menubuhkan kerajaan baharu di negeri ini termasuk di peringkat Pusat.

“Gelombang ini akan menjadi lebih besar pada 19 November ini (PRU15) dan menjadi tsunami menghanyutkan sampah-sarap politik BN (Barisan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) masuk ke laut sekali gus membentuk kerajaan stabil dan bersih,” katanya ketika berucap Majlis Jelajah PN Best di Kuala Perlis di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PN negeri merangkap Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli dan Timbalannya, Abu Bakar Hamzah yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, momentum PN untuk menang di negeri ini semakin meningkat menjelang PRU15.

Malah beliau juga menyifatkan penyertaan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding atas tiket PN merupakan satu anugerah yang membantu kebangkitan gabungan itu di Perlis.

“Insya-Allah kita mampu tawan Perlis dalam PRU15 dan gelombang tersebut semakin dirasai menjelang pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

 

The post Gelombang PN hanyutkan PH, BN ke laut – Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *