ANKARA: Sekurang-kurangnya 50 orang cedera selepas gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda barat laut Turkiye pada awal pagi semalam.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGC), gegaran pada kedalaman yang cetek itu melanda kira-kira 170 kilometer (km) timur Istanbul, bandar terbesar di negara itu.  

Pihak berkuasa Turkiye memaklumkan pusat gempa direkodkan di daerah Golyaka, wilayah Duzce walaupun gegaran itu dirasai dengan kuat di Istanbul.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu ketika melawat Golyaka pula berkata, setakat ini, tiada maklumat mengenai kehilangan nyawa akibat gempa bumi.

Katanya, seorang mangsa cedera parah selepas melompat keluar dari balkoni bangunan kerana panik.

Jelas beliau, sebanyak 101 gegaran susulan direkodkan sejak kejadian itu. 

Tambahnya, selain beberapa bangsal yang musnah, tiada kerosakan teruk mahupun bangunan runtuh dilaporkan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di kawasan tersebut.

Terdahulu, beberapa gambar menunjukkan penduduk sambil berselimut berdiri di luar kediaman masing-masing pada awal pagi. 

Sementara itu, Jabatan Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) memaklumkan bekalan elektrik terputus di wilayah Duzce, justeru agensi itu menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak cepat panik. 

Turkiye terletak di salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Elazig pada Januari 2020, mengorbankan lebih 40 orang.

Pada Oktober 2020, gempa bumi kuat berukuran 7.0 magnitud melanda Laut Aegean, mengakibatkan 114 orang maut dan lebih 1,000 cedera.- AFP

The post Gempa bumi 6.1 skala Richter gegar Turkiye appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *