KOTA KINABALU: Tindakan Parti Warisan (Warisan) menjadi tulang belakang untuk membentuk kerajaan baharu di Sabah disifatkan sebagai satu tindakan yang kurang bijak.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, gerakan menjatuhkan kerajaan negeri demi mendapatkan jawatan yang diidamkan adalah satu tindakan yang kurang bijaksana.

Beliau berkata, perbuatan beberapa orang pemimpin kanan negeri Sabah dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah amat menyedihkan.

“Ketua Menteri dan barisan menteri sedia ada sekarang sudah mencukupi sekiranya kesemua mereka ikhlas menjalankan tanggungjawab masing-masing demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

“Bagi USNO, Ketua Menteri sekarang ini merupakan individu yang layak memegang jawatan sebagai ketua kerajaan dengan pengalaman beliau yang amat luas dalam pentadbiran kerajaan.

“Sebagai individu pula, dalam politik Hajiji bersikap inklusif, tidak suka bermusuhan serta mengaibkan pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Pandikar, keadaan pembangunan dan ekonomi Sabah masih jauh ketinggalan di belakang susulan tindakan saling menjatuhkan kerajaan yang berlaku sejak dahulu lagi.

Ketika keadaan politik nasional kini berubah yang disertai kesedaran dari pemimpin- pemimpin Semenanjung Malaysia untuk melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sepatutnya pemimpin negeri Sabah dari semua parti politik bersatu untuk memanfaatkan keadaan ini.

Namun, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya sehingga timbul khabar angin bahawa kerajaan Sabah akan digulingkan oleh kumpulan yang dikatakan diketuai oleh BN Sabah dan Parti Warisan (Warisan). –UTUSAN

The post Gerakan jatuhkan kerajaan negeri tindakan kurang bijak-USNO appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *