GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) negeri mempersoalkan ketelusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030.

Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Tan Zhen Zune berkata, ketika ini terdapat tiga lokasi pameran draf itu iaitu di Bangunan Syed Al-Attas di Lebuh Armenian, Bangunan Market Space di Pasar Awam Balik Pulau dan Kaunter Jabatan Perancangan Pembangunan di Kompleks Tun Abdul Razam (Komtar).

Bagaimanapun tambahnya, pameran itu diadakan pada hari dan waktu bekerja dengan hanya dua lokasi dibuka pada hujung minggu iaitu untuk tempoh tiga jam sahaja.

“Waktu pameran ini memang tidak sesuai untuk majoriti penduduk yang bekerja dan ini telah mengehadkan penyertaan rakyat Pulau Pinang dalam program ini.

“Jadi adakah matlamat untuk melihat penyertaan rakyat dalam program ini boleh tercapai?” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini yang turut dihadiri Jurucakap Wanita Gerakan negeri, Heng See Lin.

Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2030 adalah yang pertama diumumkan bagi kawasan pulau iaitu selepas 14 tahun sejak DAP mentadbir negeri itu.

Menurut Zhen Zune, kerajaan negeri sepatutnya membuka ruang pameran itu di kawasan yang lebih mudah diakses oleh rakyat seperti di pasar raya sekiranya mahu penyertaan orang awam dalam proses berkenaan.

”Walaupun pihak berkuasa menyediakan laman web untuk orang ramai menyemak draf ini secara dalam talian, namun terdapat banyak halangan antaranya orang ramai perlu tahu lot nombor dan mukim tanah.

”Ini akan menyukarkan orang ramai untuk turut serta menyemak draf ini dan akhirnya orang ramai tidak mahu terlibat dalam proses berkenaan,” katanya.

Zhen Zune berkata, Gerakan Pulau Pinang juga mendapati Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 banyak menggunakan istilah profesional dan isi kandungannya sukar difahami.

”Perkara ini juga menjadi halangan untuk menarik minat rakyat daripada menyertai program ini.

“Kami telah menghantar e-mel kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung isu-isu dan kelemahan yang ada pada program ini dan berharap ia akan mendapat perhatian segera daripada pihak terlibat,” katanya.

Tambah beliau pihaknya juga berharap kerajaan negeri akan membuat penambahbaikan dengan segera berhubung program itu memandangkan program publisiti dan penyertaan awam draf tersebut akan tamat pada 10 Januari ini. – UTUSAN

The post Gerakan persoal ketelusan pameran Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *