PUTRAJAYA: Golongan muda khususnya dalam UMNO sendiri sedang memerhatikan tindak-tanduk dan langkah-langkah yang diambil parti itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal menentukan hala tuju dan survival UMNO.

Ia terutama dalam menghadapi PRU akan datang, selain enam pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, justeru, pihaknya menyeru biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan membawakan usul yang terbaik, termasuklah membenarkan semua jawatan dipertandingkan bagi menyuburkan proses demokrasi dalaman dan membenarkan proses peremajaan yang berterusan.

Menurut beliau, ia apatah lagi jika ada usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan sekali gus diyakini ramai dalam kalangan anak muda sama ada di dalam atau luar UMNO serta anak muda atas pagar akan meninggalkan UMNO.

“UMNO akan kehilangan keyakinan, terutamanya keyakinan dari anak muda selama-lamanya kerana tindakan ini jelas menampakkan UMNO adalah milik presiden atau MKT dan bukan lagi milik orang Melayu.

“Dan ini akan memperkuatkan parti-parti baharu yang dikatakan memperjuangkan orang-orang Melayu terutamanya Melayu di luar bandar, sekali mereka beralih kepada parti lain jangan harap mereka akan kembali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang demokrat, beliau menyerahkan kepada perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO nanti bagi menentukan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO boleh ditandingi atau tidak.

Bagaimanapun, sebelum itu, perkara itu akan dibawa ke biro politik dan MKT sebelum dibawa ke perhimpunan agung yang akan ditentutkan perwakilan.

Mengulas lanjut, Noor Hairi berkata, ini bukan soal Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan atau mana-mana pemimpin, selepas UMNO dan BN kini hanya memiliki 30 kerusi Parlimen dan dijangka hilang lebih banyak kerusi DUN dalam enam pilihan raya negeri akan datang.

Kata beliau, anak muda kini merupakan generasi yang dapat berfikir dengan waras dan mereka dapat menilai ulasan Presiden yang menyatakan akan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan usul berkenaan akan diluluskan atau tidak.

“Sudah pasti akan ada ‘pementasan’, segalanya akan atur oleh si penguasa, seperti perhimpunan agung sebelum ini, antara tanda-tandanya ialah, perwakilan kali ini secara tidak semena-mena ketua-ketua penerangan bahagian dan sayap-sayap menjadi perwakilan secara automatik ke perhimpunan agung.

“Adakah ini satu langkah membuat ‘pementasan’ yang akan dipentaskan di perhimpunan agung kali ini bagi menambah sokongan?” katanya. – UTUSAN

 

The post Golongan muda ‘perhati’ langkah UMNO pasca PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *