BARAM: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi parlimen Baram Dato Anyi Ngau meraih majoriti 7,339 undian dalam pertandingan tiga penjuru bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon GPS itu meraih 18,399 undi dalam pertembungan membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Roland Engan yang memperoleh 11,060 undi, manakala Wilfredentika calon Bebas mendapat 324 undi.

Kemenangan itu membawa kepada parti GPS kini memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

Keputusan bagi Parlimen ini diketahui hari ini ekoran penggantungan proses pengundian pada 19 November lepas disebabkan cuaca tidak baik.

Jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Baram ialah 59,535 orang.

Awal pagi tadi sejumlah 12 pusat mengundi bagi Parlimen Baram, Sarawak telahpun dibuka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata waktu mengundi bermula dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari atau 2 petang, bergantung kepada pusat mengundi masing-masing.

Pusat mengundi terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah, SK Long Luteng, Rh TK Matthew Belulok Lalo, Kpg Lepo Gah, SK Long Sait, SK Long Tungan, SK Long Moh, SK Long Mekabar, SK Long Jekitan, SK Long Lamei, SK Lio Mato dan SK Long Banga.

Rh TK John Jau Wan di Long Semiang turut dibuka sebagai pusat mengundi tambahan.- UTUSAN

The post GPS kuasai kerusi Parlimen Baram, kemenangan keseluruhan 23 kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *