KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tenom, Datuk Rubin Balang sekiranya terbukti berkempen untuk anaknya.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sekiranya terbukti Rubin terlibat secara langsung berkempen untuk anaknya, Riduan Rubin yang bertanding atas tiket Bebas maka, kepimpinan parti boleh mengambil tindakan terhadapnya.

Hajiji berkata, beliau masih menunggu laporan berhubung dakwaan penglibatan Rubin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong yang didakwa menyokong dan membantu kempen anaknya.

“Kita tengok dulu, kalau dia terlibat secara langsung, kita boleh ambil tindakan. Tetapi pertama, saya kena minta laporan dulu, walaupun kita nampak dia bersama anaknya dalam gambar, dia mungkin bukan berkempen.

“Kita perlu adil kepada semua, kita tengok dulu laporan apa yang berlaku. Kalau hanya berdasarkan gambar beliau duduk dengan anaknya, kita tidak boleh ambil tindakan.

“Tetapi kalau betul dia (Rubin) menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST. Joseph, Papar semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gesaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu tindakan disiplin diambil terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Semalam, Bung Moktar mendakwa pembabitan Rubin selaku wakil rakyat GRS, menjadi dalang penyertaan Riduan ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Tambah Hajiji, Riduan telah meletak jawatan dari Bersatu sebelum hari penamaan calon dan berdasarkan peraturan parti tiada tindakan yang boleh diambil terhadapnya.- UTUSAN

 

The post GRS ambil tindakan Bersatu Tenom jika kempen calon Bebas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *