KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dijangka mendominasi kerusi Parlimen di Sabah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Semasa pembubaran Parlimen, komposisi kerusi antara blok kerajaan dan pembangkang di Sabah seimbang dengan 12 kerusi di kedua-dua blok tersebut.

Satu kerusi iaitu kerusi Parlimen Batu Sapi kekal kosong selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan (Warisan) meninggal dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, sekiranya kerjasama GRS-BN berterusan sehingga ke saat akhir tanpa ada sebarang sabotaj daripada rakan sekutu, maka gabungan itu mampu mendominasi antara 11 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah pada PRU15.

Beliau berkata, kawasan pantai barat dan pedalaman diyakini mampu dikuasai oleh GRS-BN yang kini merupakan kerajaan di Sabah.

Ketika ini, trend sokongan rakyat akan memilih kepada parti tempatan dan itu akan memberi kelebihan kepada GRS kerana hampir kesemua anggotanya parti tempatan.

“Kepimpinan GRS-BN dalam konteks pilihan raya kali ini menunjukkan kematangan politik antara Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) dan Bung Moktar (Datuk Seri Bung Moktar Radin) yang sepakat untuk bekerjasama dan membelakangkan ideologi politik masing-masing.

“Kedua-dua mereka berjaya meyakinkan pemimpin pusat untuk membenarkan Sabah mencorakkan acuan sendiri kerana apa yang penting adalah menang kerusi ditandingi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerusi di pantai timur pula dilihat akan kekal milik Warisan terutama kerusi-kerusi yang disandang termasuk kerusi Parlimen Semporna yang disandang oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Kerusi lain pula adalah Lahad Datu, Batu Sapi, Kalabakan serta satu kerusi berhampiran bandaraya iaitu Penampang.

Berkemungkinan Warisan boleh menang antara lima hingga 11 kerusi Parlimen bergantung kepada perjalanan kempen yang sedang berlangsung. Pada PRU-14, Warisan memperoleh lapan daripada 25 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keadaan semasa, tiga kerusi dijangka masih terbuka untuk dimenangi oleh mana-mana parti iaitu Kudat, Putatan dan Sepanggar.

Walaupun, calon Barisan Nasional Sepanggar, Datuk Yakub Khan bertaraf seorang menteri dalam kerajaan negeri namun, harus diingat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Yakub hanya menang dengan majoriti 16 undian sahaja.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) pula dijangka mempertahankan kerusi sedia ada iaitu kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

Walaupun terdapat kerusi yang boleh dimenangi GRS akibat perpecahan antara Pakatan Harapan (PH) dan Warisan terutama di kerusi Cina seperti di Tawau namun, calon yang diletakkan oleh GRS tidak mempunyai X-factor jadi sukar untuk memperoleh undi akibat perpecahan undi yang berlaku.

Tambah beliau, selepas PRU15, GRS-BN akan berunding sebagai satu blok dengan parti yang menang di Semenanjung.

Justeru, sekiranya BN menang, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS bagi menentukan siapa calon Timbalan Perdana Menteri mewakili GRS-BN di Sabah dan calon Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak.

Maka, antara GRS dan BN di Sabah, parti yang menang lebih banyak kerusi boleh menamakan calon Timbalan Perdana Menteri mereka.

Namun, sekiranya Warisan yang mendapat banyak kerusi maka, mereka yang akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menang di Semenanjung Malaysia.- UTUSAN

Ends.

The post GRS-BN dijangka dominasi kerusi Parlimen Sabah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *