MELAKA: Gerakan Tanah Air (GTA) menyasarkan menang di lima kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi GTA Melaka, Muhammad Nazriq Abdul Rahman berkata, sasaran itu dianggap realistik walaupun pada dasarnya majoriti calon ditampilkan adalah muka baharu yang pertama kali bertanding.

Menurutnya, lima kerusi yang ditandingi calon GTA adalah Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

“Calon GTA ada peluang cerah untuk menang kerana calon-calon ini mempunyai kriteria untuk
menang. Apa yang paling penting gerak kerja jentera selepas penamaan calon esok harus ditingkatkan.

“Tidak mustahil kita mampu melakar kejutan dan kini terserah kepada pengundi-pengund. Mengapa tidak berikan kami peluang untuk menang insya-Allah banyak pembaharuan akan kami bawa,” katanya dalam sidang akhbar pengenalan lima calon GTA di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Muhammad Nazriq dicalonkan bertanding di Parlimen Alor Gajah manakala empat lagi calon ialah Handrawirawan Abu Bakar (Masjid Tanah), Lt. Kol. (B) Ghazali Abu (Tangga Batu), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Hang Tuah Jaya) dan Datuk Mohd. Daud Nasir (Jasin).

Tambahnya, GTA menyenaraikan calon berwibawa daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seramai tiga orang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) masing-masing satu calon.

Katanya, mereka yang dipilih membawa cabaran terdiri dalam kalangan profesional, bekas tentera, ahli perniagaan, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya lagi, manifesto GTA akan diumumkan dalam masa terdekat di peringkat Parlimen oleh calon bertanding.

“Antara manifesto paling utama ditawarkan parti adalah kepemimpinan baharu yang bebas bersih daripada rasuah dan mengangkat agenda memperkasa orang Melayu dan bumiputera dalam bidang ekonomi dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

The post GTA konfiden tawan lima kerusi Parlimen di Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *