BATU PAHAT:  Gabungan Tanah Air (GTA) menyasarkan untuk bertanding di 17 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, daripada  26 kerusi Parlimen di Johor, pihaknya mengenal pasti 17 daripadanya adalah penempatan majoriti kaum Melayu yang akan menjadi tumpuan selaras dengan perjuangan parti tersebut.

“Bagaimanapun, senarai calon akan dimuktamadkan esok sebelum diumumkan secara rasmi pada 2 November ini. 

“Kepemimpinan parti berharap dengan jumlah yang banyak bertanding di Johor akan dapat menyumbang jumlah kemenangan daripada 120 kerusi Parlimen yang ditandingi GTA di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera GTA Johor di sini hari ini. 

Antara kerusi yang mungkin ditandingi GTA adalah  Parlimen Pagoh yang mempunyai kepadatan penduduk Melayu lebih banyak. 

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, keengganan parti lain untuk bergabung dengan GTA mungkin disebabkan mereka sudah mempunyai senarai agihan kerusi mengikut parti yang ada dalam gabungan itu. 

Sekiranya penggabungan dilakukan pada saat akhir, ia  akan menyebabkan rombakan pembahagian kerusi dan akan merumitkan dan dibimbangi berlaku pertembungan di kerusi yang sama. 

“Bagaimanapun, semua gabungan parti, GTA, PN dan PH mempunyai satu misi yang sama, iaitu bertanding untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN),” katanya. –UTUSAN

The post GTA sasar bertanding 17 kerusi di Johor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *