KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya tidak melihat keahliannya dalam UMNO telah tergugur sebaliknya, beliau masih ahli UMNO.

Walaupun pindaan telah dilakukan dalam Perlembagaan UMNO pada Jumaat lalu yang menyatakan mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyertai pakatan lain yang tidak disertai oleh UMNO maka, akan tergugur keahliannya secara automatik.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, setakat ini, beliau masih belum menerima surat daripada kepimpinan UMNO mengenai status keahliannya di dalam parti.

“Sekarang bukan masa untuk berpolitik tapi untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita boleh berpolitik lagi apabila tiba masa mengundi. Kita tunggu lagi dua tahun lebih,” katanya semasa mengulas tentang pindaan Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Loji Rawatan Air Moyog di Penampang hari ini.

Usul di bawah fasal 20.11 Perlembagaan UMNO mengenai pengguguran keahlian UMNO itu diluluskan sebulat suara semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, ADUN Sugut, Datuk James Ratib berkata, pindaan perlembagaan itu dibuat oleh pimpinan parti maka, beliau menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu berkata, beliau sedia menerima apa juga keputusan parti.

“Kita akan terima apa sahaja keputusan yang mereka buat kerana kita ini merupakan ahli parti dan wakil rakyat. Kita pertahankan kerajaan sedia ada kerana rakyat sudah muak dengan permainan politik yang tidak berpenghujung.

“Kita baharu sahaja mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU), takkan pergolakan politik masih ada lagi sedangkan masih banyak masalah belum selesai di luar sana. Masalah jalan raya belum selesai dan kos sara hidup rakyat masih lagi tinggi.

“Jadi, cukuplah berpolitik, kita tumpukan kepada rakyat. Politik adalah politik dan masalah parti biarlah parti yang uruskan,” katanya.

James berkata, beliau sedia menerima apa sahaja tindakan yang akan diambil oleh parti terhadap lima ADUN UMNO yang tidak menyokong keputusan parti dalam menarik sokongan daripada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Pada 6 Januari lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan ADUN BN/UMNO menarik sokongan daripada Hajiji berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diambil susulan tindakan Hajiji memecat Datuk Seri Salleh Tun Said (BN-Tempasuk) sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad iaitu anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam pelaburan. – UTUSAN

The post Gugur keahlian? Belum terima surat daripada pimpinan UMNO – Shahelmey appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *