KOTA BHARU: Penyandang kerusi Parlimen Tumpat daripada Pas, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertujuan menebus semula maruahnya selepas difitnah dengan teruk semasa pemilihan parti sebelum ini.

Che Abdullah berkata, beliau tidak mempunyai masalah jika nama tiada sebagai calon Pas namun fitnah secara berleluasa ke atas dirinya tanpa ‘kawalan’ daripada parti membuatkanya mengambil keputusan bertanding menggunakan tiket ‘dacing’.

“Sebagai pimpinan Pas, saya telah cuba mencari pelbagai saluran untuk memberi penjelasan (berkait fitnah), namun gagal sehingga ada yang menyebarkan fitnah undi Datuk Che Lah berdosa semasa pemilihan dalam parti sebelum ini.

“Pada masa sama, pelbagai usaha saya lakukan untuk menyatukan Pas kawasan Tumpat. Namun fitnah dihadapkan kepada saya dibenarkan secara berlesuasa oleh pimpinan,” katanya semasa ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Bangunan UMNO negeri, di sini hari ini.

Che Abdullah beliau, beliau tidak mempunyai cita-cita politik yang tinggi dalam parti namun sekadar mahu terus berkhidmat kepada rakyat jika diberi mandat berbuat demikian.

Katanya, walaupun bertanding menggunakan simbol dacing beliau tidak pernah menganggap ahli dan penyokong Pas sebagai musuh.

“Semua ahli dan penyokong Pas amat saya sayangi selepas banyak membantu semasa menjadi wakil rakyat di Tumpat sebelum ini. Saya harap mereka (rakyat) dapat memberi mandat sekali untuk membantu dan membela rakyat di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Che Abdullah memberitahu, beliau hanya bertanding atas tiket BN dan bukan menjadi ahli parti itu.

Katanya, seluruh jentera BN sudah memberi ‘restu’ dan bersedia untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan menjadi milik parti itu.

Utusan Online semalam melaporkan, BN Kelantan membuat kejutan besar apabila memberi laluan Che Abdullah Mat Nawi untuk mempertahan kerusi Parlimen Tumpat selepas tidak dicalonkan oleh Pas pada PRU15.

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, seluruh akar umbi parti di kawasan itu terutama UMNO Bahagian Tumpat secara terbuka menerima baik kehadiran Che Abdullah untuk bertanding atas tiket BN.

Pada PRU14, Che Abdullah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi.

Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041 manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hilang deposit selepas meraih 10,003 undi. – UTUSAN

 

The post Guna tiket BN tebus maruah selepas difitnah – Che Abdullah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *