PADANG: Badan operasi dan menyelamat Sumatera Barat membawa turun lebih 164 orang pendaki selepas Gunung Marapi meletus dan melepaskan kepulan abu tebal ke udara sejak Sabtu lalu.

Lapor Antara News, semua pendaki sudah diberi amaran untuk tidak naik ke puncak gunung namun masih ada yang nekad menuju ke daerah kawah.

“Ada 47 pendaki yang berdaftar sebelum naik ke gunung sementara terdapat 57 lagi yang mendaki secara haram.

“Namun kesemua mereka sudah dibawa turun dan kawasan gunung juga sudah ditutup sementara,” jelas Ketua Badan Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA) Sumatera Barat, Ardi Andono.

Gunung Marapi Sumatera Barat yang terletak di wilayah Agam dan Tanah Datar sudah tujuh kali meletus Sabtu lalu dengan menghamburkan abu setinggi 300 meter.

Penduduk sekitar serta pengembara diarahkan untuk berjaga-jaga dan tidak melakukan sebarang aktiviti sekitar jarak tiga kilometer dari puncak gunung.

“Penduduk yang ada di sekitar diharap bertenang dan sentiasa berkomunikasi dengan pemerintah daerah bagi mendapatkan status terkini Gunung Marapi.

“Semua penduduk dan pendaki harus mematuhi arahan untuk menjauhi kawah yang menjadi sumber keluarnya gas-gas yang membahayakan kesihatan,” kata Ardi. 

Ketika ini status Gunung Marapi berada pada tahap dua atau waspada selepas pos cerapan di Bukittinggi masih merakam letusan berskala kecil dari kawah gunung. 

The post Gunung Marapi meletus, 164 pendaki dibawa turun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *