BAYAN LEPAS: Seorang wanita warga asing yang kononnya bergurau dia membawa bom di dalam begnya ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, wanita berkenaan yang dalam perjalanan ke Medan, Indonesia ditahan selepas dia bergurau dengan menyebut ada bom ketika pemeriksaan begnya dijalankan di kaunter daftar masuk LTAPP.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berusia 33 tahun itu berkerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak.

”Dia menyebut dengan lantang ada bom sehingga didengari kakitangan di kaunter.

”Perkataan ada bom ini turut didengari orang lain yang sedang menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan di lapangan terbang tersebut” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, semasa kejadian wanita itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia pukul 5.30 petang.

“Wanita itu kini direman selama dua hari sehingga esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – UTUSAN

The post Gurauan ada bom di LTAPP, wanita Indonesia ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *