GUA MUSANG: Seorang guru mampu menjana pendapatan sampingan sehingga RM2,000 sebulan menerusi hobinya menghasilkan lukisan dakwat Cina.

Melukis pada awalnya adalah hobi untuk mengisi masa lapang bagi Koh Keat Fu atau Alfred Koh, 53, namun ia dilihat mampu menjana pendapatan sampingan selepas mendapat permintaan tinggi daripada peminat lukisan bermotifkan dakwat itu.

Keat Fu berkata, lukisan yang dijualnya berharga dalam lingkungan RM128 hingga RM368 bergantung kepada saiz dan tempoh ia disiapkan.

“Kebiasaannya tempoh menghasilkan sesebuah lukisan kira-kira 10 hingga 40 minit. Saya pernah mengambil masa sehingga lima jam bagi menghasilkan satu lukisan kerana ia memerlukan imaginasi tinggi.

“Lukisan dakwat Cina memiliki keistimewaan tersendiri malah dapat mengasah tahap kreativiti seseorang pelukis. Ia adalah satu cabang seni yang unik kerana setiap lukisan mengandungi mesej tersirat,” katanya ketika di rumahnya di Bandar Utama, di sini semalam.

Menurut Keat Fu, pelukis dakwat Cina kebiasaannya mengambil pelbagai motif dalam kehidupan dan individu yang meminati lukisan itu bebas menterjemah maksud di sebalik lukisan tersebut.

Katanya, kanvas yang digunakan untuk lukisan itu ditempah khas dari China dan sehingga kini dia sudah menghasilkan hampir 400 lukisan.

“Kebanyakan lukisan yang dihasilkan dijadikan cenderahati sempena acara kebajikan dan pameran jualan.

“Saya turut membuka kelas secara dalam talian kepada mereka yang berminat mempelajari lukisan dakwat Cina ini,” katanya yang sudah menetap di daerah ini lebih 30 tahun lalu. – UTUSAN

 

The post Guru jana pendapatan sampingan jual lukisan dakwat Cina appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *