KUALA LUMPUR: Membuat penampilan sulung dalam Para Sukan Malaysia (Sukma), Bazli Alias yang merupakan seorang guru tahfiz melakar kejutan meraih pingat emas pingpong kerusi roda beregu lelaki kelas 1-3 (kecacatan fizikal) semalam.

Guru Sekolah Tahfiz Anak Yatim AlKitab di Beranang, Selangor itu bergandingan dengan Haziq Chek Mat untuk mengetepikan pasangan Perak, Faiz Fazmi Amir Hamzah-Nur Izhar Idham 11-3, 10-12, 12-10, 9-11, 11-8 di Bukit Jalil.

Berusia 33 tahun, Bazli berkata, dia tidak menduga berjaya membawa pulang emas buat kontinjen Merah Kuning.

“Alhamdulillah, syukur tak sangka boleh menang, tak tahu hendak cakap macam mana, kami berusaha gigih selama dua tahun.

“Kami tetap menjalani latihan walaupun ketika pandemik melanda, malah sewaktu mendapat tahu Para Sukma ditangguhkan di Johor, kami masih terus berlatih,” katanya.

Bazli yang terpaksa berkerusi roda sejak 13 tahun lalu disebabkan masalah saraf tunjang amat berharap usaha kerasnya mendapat perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Para­limpik Malaysia (MPM).

“Kalau boleh kami hendak mewakili Malaysia pula di peringkat antarabangsa, kami akan terus berjuang supaya impian ini menjadi realiti,” ujarnya.

Pasangannya, Haziq, 23, juga berharap persembahan mereka di Para Sukma mendapat perhatian pihak berkenaan.

Penuntut Universiti Sains Multimedia dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa itu berkata, dia dan Bazli amat memerlukan pendedahan dan jika diberi peluang mereka bersedia mewakili negara.

Kali terakhir Malaysia menghantar wakil dalam acara ping pong beregu berkerusi roda di peringkat antarabangsa ialah pada Sukan Para Asean 2017 di ibu negara.

The post Guru tahfiz rangkul pingat emas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *