PETALING JAYA: Guru matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh berdepan tindakan dibuang kerja atau turun pangkat selepas kerap kali menegur silibus aras tinggi bagi mata pelajaran matematik sekolah rendah.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Mohd. Fadli memuat naik surat yang ditandatangani  Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Sokongan  (No.1) Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.

Surat berkenaan bertajuk ‘tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat’ yang melibatkan tiga pertuduhan terhadap Mohd. Fadli selepas guru berkenaan lantang menegur silibus sistem pendidikan di laman Facebooknya.

Antara teguran Mohd. Fadli ialah beg berat, silibus tinggi dan padat, silibus syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek yang banyak, masa belajar untuk subjek teras singkat dan adanya ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan.

“Kerana jujur dan mengatakan kebenaran, Kementerian Pendidikan (KPM) nak buang kerja saya. Oh Malaysiaku…Malam ini saya kongsi terus surat dari KPM yang nak buang kerja atau turun pangkat saya. Kerana apa saya nak kena buang kerja?

“Adakah saya seorang guru bermasalah di sekolah? Tidak, markah prestasi saya saban tahun melebihi 90 peratus, bahkan mencecah 98 peratus. Adakah saya selalu ‘MC’ dan ponteng kerja? Juga tidak. Rekod kehadiran saya ke sekolah setiap tahun sangat cantik.

“Adakah saya tumbuk guru besar, bergaduh dengan rakan sekerja? Juga tidak, saya sangat disenangi rakan sekerja dan pentadbir. Adakah saya cabul atau rogol murid? Jauh sekali. Anak-anak didik saya, saya layan ibarat anak-anak sendiri. 

“Jadi soalnya kenapa KPM nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengan luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji puja sahaja,” katanya di laman Facebook.

Menurut Mohd. Fadli, sebelum bertindak bersuara di media sosial, beliau terlebih dulu menggunakan saluran disediakan KPM termasuk menerusi sesi penataran silibus baharu di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), namun tiada respon

“Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan,” katanya.

Hantaran Mohd. Fadli di akaun Facebook miliknya itu kemudian mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang menyatakan hasrat untuk berjumpa bagi mendapatkan maklum balas berhubung silibus matematik daripada guru subjek itu.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya.

Bagaimanapun, Mohd. Fadli mempersoalkan keprihatinan Radzi yang baru timbul sedangkan beliau sudah lama memperjuangkan isu berkaitan sekolah sejak sekian lama.

“Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin juga ada tag saya. Nak jumpa bincang isu yang saya sebut katanya. Baru malam ini beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di hantaran beliau, saya komen di page Kementerian Pendidikan merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon. 

“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada hantaran beliau dan hantaran Kementerian Pendidikan berkali-kali sejak bertahun lama?. 

“Agaknya setelah melihat kebangkitan rakyat yang terlalu kuat, baru Yang Berhormat (Radzi) terus respon nak jumpa saya. Apa pun alasannya, tak apalah. Saya bersangka baik Yang Berhormat cuba memahami denyut nadi dan luahan akar umbi,” katanya.-UTUSAN

The post Guru tegur silibus kayangan berdepan tindakan buang kerja, turun pangkat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *