DORTMUND: Erling Haaland mungkin digelar ‘mesin gol’, namun dia terbukti bukan ‘mesin’ selepas dihambat kecederaan akibat keletihan ketika pasukannya seri menentang Borussia Dormund dalam Liga Juara-Juara semalam.

Haaland yang diturunkan dalam kesebelasan utama menentang bekas pasukannya dikeluarkan pada babak kedua, dan keputusan seri 0-0 membolehkan Dortmund mengiringi City ke peringkat kalah mati dari Kumpulan G.

Selain kecederaan Haaland, City turut dikecewakan dengan kegagalan Riyad Mahrez me­nyempurnakan sepakan penalti.

Haaland, 22, yang meninggalkan Dortmund pada musim panas lalu dengan perpindahan 51 juta pound (RM241 juta) gagal memberi impak di Dortmund.

Dia yang sudah meledak 22 gol sejak tiba di Manchester hanya melakukan 13 sentuhan dan tidak melancarkan sera­ngan ke sasaran.

Pengendali City, Pep Guar­dio­la mengesahkan, ‘ayam tambatannya’ itu keletihan, selain demam sebelum perlawanan.

Bimbang kecederaan Haaland semakin serius, Guardiola menggantikannya dengan Bernardo Silva pada babak kedua.

“Tiga perkara yang saya lihat hari ini, dia begitu letih. Kedua ada sedikit pengaruh (demam) .

“Ketiga, dia juga mengalami kecederaan kaki. Itu sebabnya dia tidak dapat bermain pada babak kedua,” kata Guardiola.

Mengenai seteruk mana keadaan penyerang Norway itu, Guardiola berkata, buat masa ini dia tidak mendapat laporan penuh mengenai situasi Haaland.

“Saya tidak tahu sekarang, saya bercakap dengan mereka (kakitangan perubatan) pada separuh masa dan mereka agak bimbang.

“Begitupun saya melihat dia berjalan dengan baik di hujung perlawanan, jadi itu pastinya melegakan,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Kata Guardiola, Haaland ti­dak pasti dapat diturunkan apabila skuad The Citizens menerima bertandang ke Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.

Ini kali ketiga musim ini ­Ha­aland gagal menjaringkan gol buat City, di mana dua lagi perlawanan dia ‘disenyapkan’ adalah menentang Bournemouth dan Liverpool. – AGENSI

The post Haaland bukan ‘mesin’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *