KUALA TERENGGANU : Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengemukakan prestasi pencapaiannya untuk bacaan awam melalui Kad Laporan Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata, beliau berharap segala usaha yang direkodkan dalam kad laporan itu menjadi perintis kepada langkah-langkah selanjutnya bagi meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam menyatukan ummah.

Menurutnya, semua usaha itu penting untuk membawa hasil pulangan sangat baik kepada rakyat dan negara dalam bentuk pendidikan, teknologi, pelaburan, perdagangan dan pelbagai aspek lain.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra, Kementerian-kementerian, Pejabat Kedutaan Negara Timur Tengah di Malaysia dan Pejabat Kedutaan Malaysia di Timur Tengah.

“Begitu juga ucapan penghargaan kepada seluruh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan atas segala kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam memudahkan urusan dan pekerjaan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

“Mudah-mudahan, segala amal dan usaha kita dinilai sebagai kebaikan di sisi-Nya,” tulisnya dalam Facebook tersebut.

Abdul Hadi dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah pada 2 April 2020 iaitu semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ruangan komen Abdul Hadi mendapat respon positif daripada penyokong dan ahli parti itu kerana kad laporan itu boleh menyangkal semua tuduhan yang dilemparkan pelbagai pihak terhadap dirinya. – UTUSAN

The post Hadi serah Kad Laporan Utusan Khas PM ke Timur Tengah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *