MARANG: Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu kehadiran seseorang ahli parlimen ke Dewan Rakyat bukan seperti kewajiban pelajar hadir ke sekolah.

Kata Presiden Pas itu, kebanyakan pihak masih tidak memahami sistem dan perjalanan Dewan Rakyat apabila ada yang menganggapnya sering ponteng ke sidang tersebut.

Beliau berkata, kebiasaannya tidak hadir ke Dewan Rakyat kerana mempunyai urusan lain termasuk menjalankan tugas-tugas khas selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah serta Ahli Parlimen. 

“Kehadiran ke Parlimen bukan macam  kehadiran ke sekolah. Itu orang tak faham. Menteri-menteri bukan duduk tunggu je,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi didakwa mencatat rekod kehadiran terendah dengan hanya menghadiri 21 daripada 71 sesi sidang Dewan Rakyat pada penggal lalu. 

Selain itu, Abdul Hadi berkata, beliau jarang hadir ke sidang Dewan Rakyat kerana mahu memberi peluang kepada Ahli Parlimen yang muda daripada partinya terlibat dalam sesi perbahasan.

“Saya sudah lama di Parlimen, banyak sesi saya terlibat, berhujah dan kini saya beri peluang kepada ahli parlimen yang muda untuk terlibat dalam perbahasan, jadi kalau saya bercakap kuranglah kuota,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, isu kehadiran ke sidang Dewan Rakyat  yang dimainkan oleh pihak lawan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  tidak menjejaskan namanya.

Abdul Hadi yang juga penyandang Parlimen Marang dilantik memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April 2020.- UTUSAN

The post Hadir ke Dewan Rakyat bukan macam rekod ke sekolah  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *