KUALA LUMPUR: Bimbang kesihatan terjejas, pengurusan Hael Husaini menasihatkan penyanyi itu untuk berehat dan menangguhkan dahulu konsert sulungnya yang dijadualkan pada 4 Disember ini.

Pegawai publisiti, Joe Saiful berkata, Hael memerlukan tenaga yang cukup untuk beraksi, namun disebabkan jadual kerjaya seninya terlalu padat, pengurusannya, Rocketfuel Entertainment mengambil keputusan menangguhkan konsert tersebut.

“Melihat kesibukan dan jadual kerja seninya yang terlalu padat, pengurusan fikir lebih baik konsert itu ditunda. Dia akan terbang ke Milan, Itali dan Paris, Perancis pada bulan depan bagi memenuhi undangan sebuah jenama terkenal.

“Dia juga perlu berada di Singapura untuk sesi bertemu peminat dan terikat dengan komitmen Separuh Akhir Muzik-Muzik. Kesibukan itu membuatkan masa untuk menjalani latihan sangat terhad.

“Atas faktor itu dan juga untuk memastikan kesihatannya pada tahap terbaik, kami sepakat menangguhkan konsert itu ke 19 Februari depan. Dia perlukan rehat  kerana sudah terlalu penat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai tiket konsert, Joe berkata, ia berbaki 40 peratus lagi dan peminat masih berpeluang mendapatkannya.

“Tiket untuk zon atas sudah habis terjual. Cuma, bahagian bawah masih ada lagi. Kami amat menggalakkan peminat untuk membeli dan menyokong konsert pertama Hael ini.

“Mungkin ada segelintir peminat lebih gemar membuat pembelian  pada saat akhir, namun tempahan awal dapat mengelak daripada sebarang masalah nanti,” katanya.

Konsert Hael Husaini Live In Kuala Lumpur akan berlangsung di Zepp KL pada 19 Februari depan, bermula pukul 8.30 malam.

Semalam, pihak pengurusan penyanyi itu mengeluarkan kenyataan mengenai penundaan konsert tersebut dan memohon maaf kepada semua pembeli tiket disebabkan perubahan tarikh.

The post Hael perlukan rehat, konsert tangguh ke Februari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *