KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memutuskan untuk tidak bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Menteri Sabah itu menyatakan beliau tidak berminat untuk bertanding di peringkat Parlimen.

“Saya tidak berminat,” katanya semasa menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan beliau bertanding pada PRU-15.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Bersatu Tuaran hari ini.

Sebelum ini, nama Hajiji antara yang disebut-sebut sebagai calon yang akan merebut kerusi Parlimen Tuaran daripada penyandangnya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Tuaran dimenangi di bawah payung Barisan Nasional sebelum UPKO beralih sokongan bagi membolehkan kerajaan Warisan Plus dibentuk di Sabah selepas pilihan raya berkenaan.

Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, mereka mungkin akan meletakkan calon di Parlimen Tuaran namun, perkara itu perlu masih belum dimuktamadkan kerana masih perlu berbincang dengan rakan komponen lain dalam GRS.

“Kita akan bincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam ini sebelum ia dibawa untuk perbincangan kita dengan Barisan Nasional.

“Namun, secara bisik-bisik memang ‘okay’ (tanding Tuaran) tapi, kita kena secara rasmi nanti. Biarlah rasmi apabila sampai masanya,” katanya.

Pada masa ini GRS dianggotai oleh Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Menurut beliau, rundingan kerusi antara GRS dan Barisan Nasional belum lagi dimuktamadkan namun, mereka akan berusaha untuk mengelak pertembungan.

Hajiji berkata, beliau tidak melihat rakan parti-parti lain akan bertembung dengan GRS pada PRU kali ini kerana mereka merupakan rakan bersekutu kepada GRS.

“Mereka ialah rakan dalam satu perjuangan tapi mereka tidak tertakluk kepada Perlembagaan GRS. Namun, kita akan sama-sama mereka untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat.

“Kita akan memberi apa juga peluang sepatutnya sama ada dalam pilihan raya atau apa juga yang kita perjuangkan,” katanya.

Rakan sekutu yang sebelum ini menyatakan hasrat menyertai GRS adalah Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat). –UTUSAN

The post Hajiji sahkan tidak tanding PRU-15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *