RAWANG: Perniagaan kudapan tradisional Halier & Co yang diusahakan oleh Nurzaihan Mohd Mokhtar, Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang memiliki keistimewaannya tersendiri kerana bukan sahaja sesuai untuk wanita berpantang malah boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.

Ibu kepada empat cahaya mata ini pada mulanya berkecimpung dalam bidang katering, namun keinginan yang mendalam untuk mencipta kelainan dalam hidangan yang disediakan membawa ilham untuk menghasilkan produk kudapan tradisional seperti serunding halia, bawang putih rangup, pegaga rangup dan peria rangup.

“Menerusi kajian yang saya lakukan, serunding halia amat popular di negeri Sabah dan Sarawak, namun masih lagi jarang ditemui di Semenanjung. Jadi dari situ saya mendapat idea untuk menghasilkan serunding halia”.

“Pada mulanya saya hanya mempromosikan kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat. Namun maklum balas yang saya terima amat positif, membuatkan saya teruja dan lebih bersemangat untuk menghasilkan produk ini.

“Saya sentiasa memperbaiki produk menerusi maklum balas daripada pelanggan, contohnya dahulu serunding yang dihasilkan bertekstur kasar dan susah untuk ditelan, kini serunding saya dihasilkan lebih halus, mudah ditelan mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Nurzaihan berkata, serunding halia amat sesuai untuk wanita berpantang kerana boleh memanaskan badan, membuang angin berlebihan, membantu menurunkan berat badan. Malahan kesemua pilihan kudapan tradisional keluaran Halier & Co iaitu Serunding Halia, Bawang Putih Rangup, Peria rangup dan Pegaga Rangup sungguh enak dimakan bersama nasi Putih dan bubur nasi.

Perusahaan yang dikendalikan secara kecil-kecilan bersama suaminya ini dibantu oleh dua pekerja sambilan. Setiap hari sebanyak 100kg halia, 30kg peria, 30kg pegaga dan 30kg bawang putih diproses untuk menghasilkan kira-kira 100 pek untuk dijual kepada pelanggan menerusi media sosial dan ejen-ejen jualan yang memasarkan produk Halier & Co.

Sementara itu, katanya, sebagai Sahabat AIM sejak tiga tahun lalu membolehkan beliau mendapat pinjaman untuk membeli kelengkapan dan mesin.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada AIM kerana bimbingan, tunjuk ajar dan modal pusingan yang telah diberikan membolehkan saya menjalankan perniagaan Halier &Co.

Bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan juga telah banyak membantu dalam perniagaan sehingga berjaya memperoleh pendapatan jualan purata 400 ke 500 pek bungkusan sebulan.

“Pinjaman kali pertama yang saya buat adalah sebanyak RM3,000 saya gunakan untuk membeli kelengkapan mesin yang membantu mempercepatkan proses pengeluaran produk saya seperti mesin mengupas kulit halia,” katanya.

Sehingga ke hari ini beliau telah lima kali membuat pinjaman modal dengan jumlah keseluruhan RM14,000.

Setiap pek produk Halier & Co dijual pada harga RM20 dan boleh dibeli menerusi Facebook dan Instagram Halier & Co selain di Shoppe Shop, Halier & Co.

Untuk maklumat lanjut atau kepada yang berminat untuk menjadi ejen atau dropshipper, boleh hubungi terus Nurzaihan di talian 012-369 7032. – UTUSAN

The post Halier & Co cari ejen, dropshipper untuk produk kudapan tradisional appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *