SINGAPURA: Kira-kira 20 hingga 30 kanak-kanak cedera hampir setiap tahun akibat terjatuh dari kerusi bayi dalam tempoh lima tahun lalu di republik ini.

Malah, menurut Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) Singapura,  lebih suku daripada jumlah kes itu memerlukan golongan itu dimasukkan ke hospital.

Perunding di Jabatan Perubatan Kecemasan hospital, Dr. Ronald Tan berkata, kecederaan itu merangkumi keretakan pada tengkorak, lengan dan kaki, luka pada kepala dan muka, kecederaan kepala serta lebam pada lengan dan kaki.

KKH menyaksikan sebanyak 140 kes yang dikaitkan dengan insiden jatuh dari kerusi bayi antara tahun 2017 hingga 2021, dengan purata 20 hingga 30 kanak-kanak cedera dilaporkan setahun.

Kira-kira 27 peratus daripada jumlah kes itu memerlukan mereka dimasukkan ke hospital.

Data itu dikeluarkan susulan insiden seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas kepalanya terhentak ketika jatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran di Johor Bahru. 

Kejadian itu berlaku ketika kanak-kanak itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan.

Di Singapura, para pembekal kerusi bayi dilaporkan perlu memastikan produk mereka mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa seperti EN 14988, ASTM F404 dan ISO 9221.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO) di bawah naungan Enterprise Singapore, Beatrice Wong berkata, kerusi bayi yang gagal menepati piawaian tidak dibenarkan dijual di negara itu.

“Setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang maklum balas berhubung kerusi bayi yang tidak selamat mahupun laporan kecederaan disebabkan penggunaan produk demikian di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun pada 2021, pihaknya mendapati dua model kerusi bayi yang dijual di Singapura, gagal menepati piawaian keselamatan ASTM F404 dan mengeluarkan perintah berhenti menjual kepada para peruncit.

Di bawah undang-undang Singapura, mana-mana individu didapati melanggar peraturan CPSO untuk menghentikan penjualan produk tidak selamat, boleh berdepan hukuman denda sehingga S$10,000 (RM32,577), penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. – AGENSI

The post Hampir 30 kanak-kanak cedera terjatuh kerusi bayi setiap tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *