ARAU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan dakwaan berlakunya kebocoran sekitar 800,000 data pengundi daripada sistem milik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu MySPR.

Menurut Hamzah, SPR hanya menyimpan data peribadi pengundi melibatkan nama dan nombor kad pengenalan sahaja, bukan membabitkan maklumat lain seperti nombor telefon.

Katanya, dakwaan itu tidak benar memandangkan ia merupakan tindakan pihak tertentu yang cuba mencari keuntungan dengan menjual data berkenaan.

“Kalau ada nombor telefon maka ia bukan data SPR kerana suruhanjaya itu hanya menyimpan maklumat seperti nama dan nombor kad pengenalan sahaja.

“Tak betullah tu, (tindakan ini) adalah orang yang menipu untuk cari keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Perikatan Nasional (PN) di Bilik Gerakan Utama Hutan Kandis, di sini hari ini.

Hadir sama dalam program jelajah itu adalah Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli dan semua calon parti itu yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR yang didakwa dijual pada harga RM9,401 di sebuah pangkalan data terkenal.

Menerusi laporan di laman web lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar dan MyKad yang menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Ciapan di Twitter oleh pengguna Acailjawe, penjual mendakwa bahawa pangkalan data itu juga termasuk banyak butiran lain seperti nama penuh, nombor ID, alamat e-mel, tarikh lahir, kata laluan dan alamat penuh. – UTUSAN

The post Hamzah nafi kebocoran data MySPR appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *