PETALING JAYA: Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) di kerusi Parlimen Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha mahu menjadikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan yang utama, bukan sahaja di Selangor, tetapi di seluruh negara.

Haniza berkata, dari segi kemakmuran ekonomi, Hulu Selangor kini menduduki tempat kedua terendah di Selangor dan situasi itu amat dikesali kerana kawasan ini mempunyai potensi ekonomi besar, terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Hulu Selangor mempunyai beberapa tarikan semulajadi yang indah, termasuk air terjun, denai kembara dan perkampungan Orang Asli. Ramai pelancong kini mencari tarikan semula jadi berkepadatan rendah selepas wabak Covid-19.

“Saya percaya Hulu Selangor boleh menawarkannya, tanpa menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Haniza, satu lagi tarikan pelancong yang boleh dibangunkan di Hulu Selangor ialah Kuala Kubu Bharu yang merupakan bandar terancang pertama di negara ini dan mempunyai banyak tapak bersejarah dan warisan.

Katanya, disebabkan Hulu Selangor terletak berdekatan dengan Lembah Klang, sebagai langkah permulaan, beliau bercadang untuk menarik warga kota ke sana untuk rehat dan riadah (R&R), terutamanya pada hujung minggu. 

“Berdasarkan maklum balas awal, ramai penduduk di Lembah Klang berminat untuk melawat Hulu Selangor untuk aktiviti santai. Saya juga merancang untuk menarik pelancong antarabangsa ke sana sebagai langkah susulan.

“Tetapi untuk mencapai matlamat ini, Hulu Selangor memerlukan pelaburan yang besar untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan serta untuk promosi. 

“Dalam hal ini, saya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Selangor, pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta seperti Think City untuk mendapatkan dana, jika saya dipilih sebagai Ahli Parlimen di sana,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ledakan aktiviti pelancongan Hulu Selangor pastinya membawa kesan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk dalam bentuk peningkatan hasil dalam sektor seperti makan dan minum (F&B), pengangkutan dan inap desa.

“Jika terlaksana kelak, saya yakin Hulu Selangor akan menjadi antara kawasan yang paling maju di Selangor. Sekali lagi saya merayu kepada pengundi Hulu Selangor supaya mengundi saya supaya saya dapat menjadikan wawasan ini satu realiti,” katanya. – UTUSAN

The post Haniza mahu jadikan Hulu Selangor destinasi utama pelancongan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *