SEREMBAN: Seorang peniaga burger nekad menghantar emel kepada Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan bantuan bagi menampung kos pembedahan isterinya yang menghidap penyakit ovarian cysts sejak empat bulan lalu.

Nasarudin Md. Nasir, 51, berkata, itu merupakan antara ikhtiar yang dilakukan demi isterinya, Zudairulwati Jaafar, 43, dia ia berjaya mendapat maklum balas daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang datang menyantuni dan menyampaikan sumbangan melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Menurut Nasarudin, isterinya disahkan menghidap penyakit ovarian cysts pada September tahun lalu dan kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban selepas mengadu sakit serta sukar bernafas.

“Saya tergerak hati untuk menghantar emel kepada Pejabat Perdana Menteri kerana tidak sanggup melihat isteri menahan sakit ovarian cyst tahap 3 yang agak teruk sehingga kadang-kala muntah berdarah dan sukar bernafas.

“Buat masa sekarang, isteri hanya bergantung pada ubat tahan sakit dari klinik biasa memandangkan saya tidak mampu membiayai kos pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim isteri yang berjumlah RM3,500,” katanya ketika ditemui di kedai burgernya di Bandar Seremban Selatan di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Farhan telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM10,000 melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan bagi membantu membiayai kos pembedahan Zudairulwati dan keperluan lain.

Nasarudin berkata, dia menjalankan perniagaan burger sejak tiga bulan lalu selepas kehilangan kerja berikutan pihak majikan tidak menyambung kontrak kerjanya sebagai buruh am di Pasar Besar Seremban dengan pendapatan RM50 sehari.  

Lebih menyedihkan, Nasarudin yang tidak mempunyai pendapatan tetap terpaksa menjadikan ruang dalam kedai burger itu sebagai rumahnya selepas tidak mampu membayar sewa rumah sebelum ini di Senawang.

“Ruang dalam kedai inilah tempat saya, isteri dan dua orang anak tidur, solat dan makan. Sebagai bapa saya sedih dan tahu keluarga tidak selesa tinggal begini, tapi apakan daya saya tidak mampu.

“Saya menyewa sebahagian ruang dalam kedai ini juga atas ihsan pemiliknya supaya dapat tinggal di sini buat sementara waktu dan meniaga, kalau diizinkan saya mahu mencari rumah yang lebih selesa untuk kami sekeluarga,” katanya.

Walaupun diuji, bapa kepada dua orang anak iaitu Mikail Damien Qaizer, 7, dan Mikail Danish Qaizer, 5, itu melahirkan rasa syukur dan terharu apabila ada pihak yang sudi memberi bantuan dalam keadaan kewangan yang tidak stabil ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan berkata, pihaknya memproses permohonan dibuat oleh Nasarudin dalam tempoh tiga hari selepas meneliti maklumat yang diterima

“Kami menerima maklumat bahawa Nasarudin memerlukan bantuan untuk membiayai rawatan pembedahan isterinya dan berharap  bantuan ini dapat meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nasarudin di talian 011-31982472 atau melalui akaun Maybank 164294278295 (Nasarudin).-UTUSAN.

The post Hantar emel kepada Pejabat PM mohon bantuan kos pembedahan isteri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *