JOHOR BAHRU: Hanya 1.8 peratus penduduk Johor yang menerima dos penggalak kedua daripada kira-kira empat juta populasi negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu menunjukkan perbezaan ketara berbanding jumlah penerima dos penggalak pertama iaitu sebanyak 56.7 peratus.

Justeru, beliau menyarankan rakyat Johor khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.

“Sebanyak 87 peratus daripada populasi keseluruhan di Johor telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap sehingga semalam. 

“Individu yang menerima dos penggalak pertama pula adalah sebanyak 56.7 peratus, manakala dos penggalak kedua jauh lebih rendah iaitu hanya 1.8 peratus. 

“Perlindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 ini akan berkurang selepas tempoh tertentu dan bergantung kepada jenis varian semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysia dilaporkan bersiap siaga menerima kemasukan pelancong asing, khususnya dari China yang berdepan lonjakan penularan Covid-19 sekiranya mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan kemasukan pengembara dari negara itu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, sebarang ketetapan baharu, langkah tambahan termasuk mewajibkan ujian Covid-19 atau perubahan prosedur operasi standard (SOP) menerima kemasukan pengembara terbabit akan diputuskan Kabinet.

Awal bulan lalu, China dilaporkan menamatkan dasar sifar Covid bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara itu.

Walau bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.

Susulan itu, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Tian Soon berkata, individu yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak terutamanya golongan berisiko tinggi disarankan segera mendapatkan vaksin.

Katanya, mereka boleh boleh berbuat demikian secara ‘walk in’ atau temu janji di 87 klinik kesihatan atau hospital dan di pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini. – UTUSAN

The post Hanya 1.8 peratus populasi Johor terima dos penggalak kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *