KUALA TERENGGANU: Hanya 10 peratus daripada 811,000 pengguna yang berdaftar sebagai rakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) aktif di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, walaupun jumlah yang berdaftar sangat ramai, namun, peranan mereka dalam kerja sukarela itu masih kurang menyerlah kerana 90 peratus lagi rakan KPDNHEP tidak aktif.

“Kita tak mahu jumlah data yang ramai tapi tidak bermutu. Jadi, kita harap selepas ini, kita akan buat gerakan untuk aktifkan semula rakan KPDNHEP untuk  mereka menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan. 

“Kita akan sediakan beberapa insentif untuk memastikan hasrat itu tercapai, mungkin siapa yang banyak buat laporan kepenggunaan kita bagi insentif dalam bentuk e-dompet atau saguhati yang bersesuaian.

“Peranan rakan KPDNHEP ini sangat besar impaknya kerana ia mampu meringankan beban kerajaan terutamanya penguat kuasa kementerian. 

“Sebab kita ada lebih kurang 2,200 sahaja penguat kuasa seluruh Malaysia untuk pantau hal berkaitan kepenggunaan di seluruh negara, oleh itu kerjasama sukarelawan rakan KPDNHEP ini diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) 2022 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Seramai 2,536 pelajar dari 634 sekolah seluruh negara menyertai program itu yang bertujuan menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan dengan penekanan lima aspek iaitu perlindungan pengguna, pengurusan kewangan, pemakanan sihat, kelestarian alam sekitar dan kerja berpasukan.

Dalam majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, Bintulu, Sarawak dinobatkan sebagai johan, manakala SMK Sri Nangka Tuaran, Sabah (tempat kedua) dan SM Sains Alam Shah, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (tempat ketiga).

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosol berkata, sejak penubuhan KPS pada tahun 1995, ia telah berfungsi sebagai nadi penggerak pendidikan kepenggunaan di peringkat sekolah menengah.

“Berdasarkan data hingga 30 September 2022, sebanyak 2,030 sekolah menubuhkan KPS melibatkan penyertaan seramai 69,178 pelajar,” katanya. –UTUSAN

The post Hanya 10 peratus daripada 811,000 rakan KPDNHEP aktif appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *