PETALING JAYA: Harga barang dan makanan bakal melonjak sehingga lebih 10 peratus pada 2023 berdasarkan kepada unjuran kadar inflasi yang dijangka meningkat kepada enam hingga tujuh peratus.

Ini kerana harga makanan dan minuman pada November meningkat pada kadar 7.3 peratus berbanding 7.1 peratus bulan sebelumnya, dengan kadar inflasi pada empat peratus disebabkan kenaikan harga makanan terutama berasaskan ayam dan tepung mengikut data Jabatan Perangkaan.

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, inflasi dijangka kekal tinggi 2023 berikutan tekanan permintaan dan kos, harga komoditi global akibat konflik di Ukraine dan gangguan bekalan berlarutan yang ketika ini ditangani oleh kawalan harga dan subsidi.

Kementerian Ekonomi berjanji untuk membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan sebagai salah satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang.

Namun, jika harga barang dan inflasi terus meningkat, ia akan memberi kesan besar kepada pengguna terutama golongan B40 yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pensyarah ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan, kuasa membeli pengguna dijangka semakin berkurangan dan ia perlu dita­ngani segera kerana ia memaksa pengguna kurang ber­belanja yang akan memperlahankan per­tumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, ia boleh ditangani dengan memperkenalkan bantuan kewangan kepada golongan yang terkesan sebagai langkah jangka pendek menghadapi peningkatan harga dan inflasi.

TIDAK MAMPU

“Apabila harga barang meningkat, pengguna tidak mampu lagi nak beli barang dengan harga yang sama. Jadi, kerajaan perlu memastikan pengguna terutama yang berpendapatan kurang RM2,000 ada cukup makanan atas meja mereka.

“Kerajaan perlu memikirkan soal perlindungan sosial, contohnya, memperkenalkan skim tambahan pendapatan dengan bantuan antara RM100 hingga ke RM1,000 misalnya dengan peruntukan lebih RM50 bilion. Ini boleh menampung pendapatan pengguna,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, peruntukan itu juga amat penting kerana kenaikan inflasi akan menyebabkan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan lebih tinggi pada masa akan datang.

“Pada 2019, kadar OPR adalah 3.5 peratus. Ketika ini kadar OPR pada 2.75 dan dianggarkan ia akan dinaikkan sehingga 3.25 peratus. Ini akan menjadi beban kepada peminjam terutama yang membuat pembiayaan konvensional akan berubah manakala permintaan kereta dan rumah akan menurun malah bayaran ansuran akan berkurangan,” katanya.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya pengguna tidak terjejas teruk dengan kenaikan harga dan inflasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Ini kerajaan baharu tetapi mereka perlu segera melaksanakan dasar. Walaupun mereka perlukan masa untuk mengkaji, kerajaan perlu mempunyai matlamat jangka pendek untuk tangani isu ini dengan segera.

“Matlamat jangka pendek adalah menstabilkan harga dan memastikan barang sentiasa ada di pasaran. Matlamat jangka sederhana pula adalah menurunkan harga manakala matlamat jangka panjang adalah meningkatkan pendapatan pengguna, itu paling penting. Kalau kawal harga tapi pendapatan tak meningkat, pengguna akan kecewa kerana tak ada apa-apa perubahan terhadap kos sara hidupnya,” katanya.- UTUSAN

The post Harga barang naik 10% appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *