PUTRAJAYA: Harga minyak masak tulen botol kekal bagi tempoh mulai 8 Februari 2023 hingga 7 Mac ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, harga runcit maksimum ditetapkan RM6.90 bagi botol 1 kilogram (kg), RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 (5 kg).
Menurutnya, harga itu dikekalkan walaupun secara umum, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah bagi Januari berbanding bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, berdasarkan rundingan diadakan sebelum ini, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh mulai 8 Februari 2023 hingga 7 Mac ini.
“Harga itu dikekalkan selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi mengelakkan kesan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, antara komitmen itu termasuk menetapkan Harga Runcit Maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2023. – UTUSAN
The post Harga minyak masak botol kekal bagi 8 Februari – 7 Mac ini appeared first on Utusan Malaysia.