RANTAU PANJANG: Harga sayur-sayuran di sini seperti sawi, kangkung dan kubis mengalami kenaikan hingga 50 peratus sejak seminggu lalu susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata peniaga mengakui kenaikan mendadak harga barangan itu disebabkan oleh terputus bekalan akibat musibah berkenaan.

Seorang peniaga, Ayu Sabrina Abdul Wahab, 35, berkata, sebelum ini sawi dijual dengan RM5 sekilogram namun sejak banjir melanda dan bekalan menjadi kurang menyebabkan harga naik kepada RM9.

Menurutnya, walaupun sayur mahal ia tetap dibeli oleh pengguna kerana kawasan ini ramai peniaga kedai makan.

“Hal ini kerana peniaga makanan tidak mempunyai pilihan. Jika tidak mereka tidak akan dapat berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Zulkifli Mat Daud, 45, memberitahu, kenaikan harga sayur mendadak ini turut memberikan kesan kepada peniaga di kawasan ini.

Katanya, situasi itu membuatkan peniaga berada dalam delima sama ada mahu menjual barangan tersebut atau sebaliknya.

“Sebelum ini modal untuk sekotak kobis seberat 10 kilogram (kg) modalnya RM20. Namun kali ini naik kepada RM10 menjadi RM30.

“Kangkung terpaksa dijual pada harga RM11 sekilogram walaupun modalnya RM10 sekilogram,” ujarnya.

Zulkifli berkata, walaupun bersempadan dengan Thailand namun bekalan sayur sukar diperoleh.

Katanya, hal ini kerana negara jiran itu turut terkesan dengan banjir. –UTUSAN 

The post Harga sayur di Rantau Panjang naik 50% appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *