PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan harga tiket peringkat kumpulan untuk aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Itu bermakna, tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu akan dijual serendah RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium sejurus selepas perlawanan menentang Singapura, malam tadi.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada penyokong Harimau Malaya yang telah memberikan sokongan padu kepada pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 setakat ini.

Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama itu sudah mula dijual secara dalam talian di bermula pukul 3 petang tadi. Tiada penjualan di kaunter.

“Sebagai perbandingan, harga tiket RM30 bagi tempat duduk Terbuka ini sama seperti harga tiket perlawanan separuh akhir, Malaysia lawan Thailand pada Piala AFF 2018 dan adalah lebih rendah daripada harga tiket RM40 ketika separuh akhir Piala AFF 2014, Malaysia lawan Vietnam.

 

“Bagaimanapun, hanya 59,000 keping tiket yang dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama, Sabtu ini memandangkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

“Situasi ini tidak dapat dielakkan yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala  AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang ke Bangkok pada Ahad bagi menghadapi pula perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Thammasat pada Selasa, 10 Januari 2023.

Dalam pada itu, FAM turut ingin menasihati penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my. kerana bagi perlawanan menentang Singapura semalam, FAM telah mendapati bahawa terdapat penjualan tiket palsu.

“FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku,” kata Noor Azman.  – UTUSAN ONLINE

The post Harga tiket separuh akhir Piala AFF 2022 kekal serendah RM30 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *