PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang  Serai, tidak akan diadakan esok dan dijadualkan semula pada 7 Disember ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas suruhanjaya itu hari ini selepas menerima Writ Pilihan Raya yang dikembalikan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya itu berikutan kematian calon Pakatan Harapan, mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu.

Menurut beliau, Hari Penamaan Calon bagi pilihan raya bahagian berkenaan itu pula ditetapkan pada 24 November 2022 (Khamis), manakala Hari Mengundi Awal pada 3 Disember 2022 (Sabtu).

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa). 

“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka hari ini dan ditutup pada 22 November 2022 (Selasa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, calon-calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi pada Hari Penamaan Calon nanti. 

Katanya, bagi bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam bahagian pilihan raya Parlimen itu pula hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan SPR.  

Beliau memberitahu, seramai 2,468 petugas dilantik bagi mengendalikan  proses pilihan raya bahagian ini melibatkan 47 pusat mengundi dengan 232 tempat mengundi atau saluran dengan anggaran kos peruntukan sebanyak RM 1.6 juta. 

“Seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 orang pengundi biasa, 76 orang  polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (bagi PRU bahagian ini).

“SPR melantik Pegawai Daerah Kulim, Datuk Abdul Bari Abdullah,  sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu enam orang Penolong Pegawai Pengurus. 

“Bagi tujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh  berkempen, SPR menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dan menetapkan Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan  Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU),” katanya. – UTUSAN

The post Hari Mengundi Padang Serai ditangguh 7 Disember  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *