GENTING HIGHLANDS: Pakar pecut tempatan, Harrif Saleh berazam untuk tidak pulang dengan tangan kosong dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berbaki lima perlumbaan dengan misi utamanya ­menawan peringkat keempat hari ini.

Selepas tiga perlumbaan, pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu mengakui, kesilapan strategi membuatkan dia berputih mata khususnya di peringkat kedua dari Kuala Klawang ke Raub kelmarin.

Dia terpaksa mengakhiri perlumbaan itu di tangga 18 keseluruhan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu optimis mampu menakluk peringkat keempat yang bermula dari Sabak Bernam dan berakhir di Meru Raya, Ipoh kerana perlumbaan sejauh 137.8 kilometer (km) itu tidak mempunyai zon pendakian.

“Pada peringkat kedua, saya akui ada membuat kesilapan tetapi saya sudah lihat semula punca kelemahan saya itu.

“Jadi untuk perlumbaan seterusnya saya akan menjadi lebih berjaga-jaga dalam mencari ruang untuk memecut bagi beberapa ratus meter yang ­terakhir,” jelas Harrif.

Bagi Hariff, kehadiran enam pasukan Jelajah Dunia tidak menghadirkan rasa gerun, sebaliknya dia sudah berjaya membaca strategi lawan.

Pada edisi 2020, pelumba berusia 34 tahun itu mencipta sensasi apabila menjuarai dua peringkat LTdL iaitu pada pe­ringkat kedua dari Senawang ke Melaka, disusuli peringkat kelima (Kuala Kubu Bahru-Ipoh).

“Memang pasukan Jelajah Dunia tahap mereka berbeza, tetapi insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik untuk perlumbaan esok (hari ini),” ­katanya.

The post Harrif mahu tawan peringkat keempat hari ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *